Sunday, September 7, 2008

Ramadhan...jangan tinggal daku

Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Huh, awalnya aku terjaga. Cuba untuk tidur kembali, tidak menjadi. Pelik benar, selalunya kelopak mata inilah yang paling liat sekali untuk dibuka pada waktu pagi, tapi tidak pagi ini. Dalam separa kemamaian di waktu hening subuh itu, otakku ligat berfikir. Sudah menjadi antara hobiku di waktu pagi sebelum bangun dari katil empukku untuk merefleksi kembali apa yang telah kulakukan pada hari sebelumnya. Kali ini, fikiranku membuatkan aku panik. Masakan tidak, hari ini sudah 8 september, sudah mahu masuk hari kelapan Ramadhan, tetapi terasa sedikit sekali yang telah kulakukan. Aku risau jika aku diserang penyakitku itu lagi, suka berangan mahu buat semua benda tetapi tiada satu pun yang kubuat akhirnya. Bergegas aku turun dari katilku, mengambil tuala dan menuju ke tandas. Tandas pula ada orang. Duduklah aku di luar tandasku itu sambil beristighfar. Ya, istighfar sambil menunggu giliranku, mungkin sedikit pelik kerana ia dibuat di luar tandas tapi itulah yang kubuat kerana terkenangkan dosa semalam. Semalam, rasanya mulut ini terlalu banyak berceloteh, tanpa brek, sehingga mungkin sudah terbabas sehingga masuk ke kawasan dosa, sama ada kusedarinya atau tidak. Astaghfirullahal’azim….astaghfirullahal’azim…..astaghfirullahal’azim. ya Allah, maafkan hambamu yang seorang ini, maafkan kedua ibu bapaku, adik beradikku, guru-guruku, sahabat-sahabatku dan semua muslimin muslimat, mukminin mukminat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

1 jam kemudian….

Fikiranku melayang jauh kepada cita-citaku hampir dua bulan yang lalu. Ya, dua bulan yang lalu, aku sungguh tidak sabar menanti kehadiran bulan penuh barakah ini. status ‘ym’ ku selalu sahaja berbunyi ‘ya Allah, rahmatilah aku dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan aku pada Ramadhan’. Menjelang Ramadhan, penuh semangat aku merancang strategi-strategi untuk mengaut keuntungan-keuntungan yang telah ditawarkan oleh penciptaKu. tapi, apa terjadi padaku sebaik sahaja Ramadhan tiba?…tidak, tidak, jangan bimbang, semangatku masih membara cuma kusedari dua tiga hari ini ia semakin pudar dek kesalahanku juga, suka benar mencari dosa. Sahlah jika pabila syaitan diikat, perangaiku masih sama, itu bermakna aku yang bermasalah. Beristighfar lagi aku. Ya Allah, ampunkan aku, ya Allah.

Azamku…sepertiga Ramadhan hampir berlalu, ya Allah, aku masih ketinggalan. Ramadhan, jangan tinggal daku. Aku perlu segera menukar gear. Aku perlu kemaskan kembali langkahku. Perlu cepat dan tangkas. Perlu lebih efektif. tidak mahu sudah aku bercakap yang sia-sia, terasa sungguh rugi mulutku ini, tidak mahu sudah aku berfikir yang macam-macam selain berfikir bagaimana untuk meraih redha penciptaKu, tidak mahu aku menatap komputerku ini lama-lama tanpa hala tuju. Aku mahu berubah. aku mahu lebih banyak tadarus, lebih banyak istighfar, lebih banyak berdoa, lebih banyak sedekah, lebih banyak menangis, lebih banyak bangun malam dan sujud memohon ampun dari penciptaKu. Oh, aku sungguh-sungguh tidak mahu jadi insan rugi itu. Bayangkan ini Ramadhan terakhirku dan aku menyia-nyiakannya. Oh, memikirkannya sudah buat aku pusing, tidak lena tidur.

Buat semua sahabat-sahabat seaqidahku yang lain,

Kudoakan kalian dalam kesihatan iman dan amal, moga sentiasa dipelihara Allah dan moga kalian semua memaksimumkan bulan ini sebaik-sebaiknya. ya Allah, aku rindu padaMu….ampunkanku ya Allah. amin3x ya rabbal ‘alamin.

No comments: